Monday, April 12, 2010

Dewan makan 95% siap


Akhirnya dewan makan anak-anak RYA sudah menampakkan wajah. Bersempena dengan nama Al-Wadi - Lembah, dewan makan ini dibangunkan di atas lembah yang dibawahnya mengalir sungai kecil. Dewan ini sudah 95% siap. Baki yang tinggal hanya pendawaian lampu dan siling saja lagi. Dianggarkan kos untuk menyelesaikan semua ini adalah dalam sekitar RM10,000.00.


Ramai pihak yang datang menghulurkan bantuan, antaranya adalah Anggota Briged 6 yang menolong mengecat bangunan ini disusuli dengan taklimat kesihatan kepada anak-anak RYA pada awal Mac 2010 yang lalu.


Walau pun belum siap sepenuhnya, dewan ini sudahpun digunakan sejak Ogos 2009. Bangunan ini berupaya menampung kapasiti maksima sehingga 150 orang.

Sekali lagi pihak kami ingin menyatakan setinggi penghargaan kepada yang bermurah hati menabur bakti meringankan beban yang ditanggung. Sumbangan untuk menyiapkan baki yang tinggal adalah sangat diharapkan, Semoga jasa kalian disuratkan sebagai amal baik dan gandakan pahala oleh Allah SWT. Hanya Allah yang mampu membalas budi kalian.

Cadangan pertambahan penghuni RYA ?















Meskipun permintaan semakin bertambah untuk menghantar anak-anak yatim dan kurang bernasib baik untuk ditempatkan di sini, pihak kami tidak lagi berupaya menampung keperluan tersebut. Kini penghuni anak-anak di RYA seramai 66 orang. Pihak kami tidak lagi bercadang menambah bilangan pelajar melebihi 70 orang. Dengan tenaga kerja yang ada dan keperluan perbelanjaan operasi dalam menguruskan pusat ini yang memerlukan kos sekitar RM30K sebulan, pihak kami tidak bercadang menambah lagi bilangan pelajar.

Pihak kami walaubagaimana pun akan sentiasa meneliti latarbelakang pelajar baru untuk kes-kes yang sangat mendesak terutama yang melibatkan soal akidah anak-anak, pihak kami masih terbuka kepada keadaan seperti ini.

Disebabkan kos operasi yang tinggi, perbelanjaan pembangunan kemudahan pelajar seperti bangunan asrama, dewan makan serta bangunan pembelajaran tahfiz berjalan agak perlahan. Namun begitu pihak kami sangat berterima kasih kepada semua penyumbang yang bermurah hati memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekali pun demi memastikan kebajikan anak-anak penghuni RYA mendapat pembelaan yang sewajarnya. Semoga Allah jua membalas jasa kalian.

Program pengajian tahfiz



Selaras dengan penubuhan asal bagi mendalami pengajian Islam dikalangan anak-anak , Rumah Yakin Al-Wadi melangkah setapak lagi kearah merealisasikan hasrat ini. Dengan sumbangan dan bantuan orang ramai, pihak kami kini dalam perancangan menyiapkan bangunan khusus bertujuan untuk menampung pusat pengajian tahfiz.

Pusat pengajian ini dirancang menampung seramai 40 orang pelajar yang berumur diantara 15 tahun hingga 18 tahun. Pengajian tahfiz sepenuh masa terbuka kepada mereka yang berminat dan boleh memilih untuk tinggal di asrama atau menuruskan sendiri keperluan asrama mereka. Pusat pengajian ini dijangka mula beroperasi pada bulan Julai 2010 ini. Kepada yang berminat boleh menghubungi Ustaz Daud.

Nasyid - Aktiviti riadah anak-anak



Kumpulan nasyid ditubuhkan pada Jun 2009. Seramai 14 anak-anak menyertai kumpulan ini yang mendapat bimbingan guru yang berpengalaman. Dengan berkat kesabaran dan kegigihan anak-anak ini, mereka kini berkebolehan mengadakan persembahan dikalayak ramai. Terbaru kumpulan ini dijemput mengadakan persembahan di TV3 Sri Pentas.

Set kelengkapan peralatan ini adalah sumbangan dari individu yang ingin melihat kepelbagaian aktiviti yang berfaedah yang boleh diceburi oleh anak-anak ini selain dari mendapat sumbangan hasil dari pertunjukan yang diadakan.

Thursday, November 12, 2009

Rumah Yakin Al-Wadi terima sumbangan QMC

9 November 2009, Rumah Yakin Al-Wadi, sekali lagi dikunjugi tetamu, Encik Ismail yang membawa hajat dari rakan-rakannya dengan membawa sumbangan ikhlas dari saudara Muslimin/ Muslimat dari Queen’s Malay Club (QMC) Belfast, Ireland. Wakil dari QMC datang memberi sumbangan sebanyak £2810 yang masih belum ditukar. Jika mengikut nilai tukaran semasa dalam ringgit Malaysia, jumlahnya adalah sebanyak M15,730.38.





Foto di atas, Encik Ismail menyampaikan sumbangan dari QMC kepada Ustaz Daud sambil diperhatikan oleh beberapa orang anak-anak Rumah Yakin Al-Wadi (RYA) didepan dewan makan dan ruang belajar anak-anak RYA.


Sumbangan ini menyusul hasil dari lawatan singkat Ustaz Nabir dari Belfast yang melawat RYA sebelum Ramadan 1430H yang lalu. Sebaik kepulangan Ustaz Nabir ke Belfast, beliau melalui QMC telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak £2810 sepanjang Ramadan yang lalu. Sumbangan tersebut dikirim melalui seorang rakan yang kebetulan pergi kesana selepas raya puasa yang lalu.


Mengikut Ustaz Daud, sumbangan ini akan digunakan untuk menyelesaikan beberapa kerja yang masih tertangguh seperti pendawaian lampu, kerusi meja dan menyediakan beberapa peralatan keperluan pembelajaran anak-anak disana yang kini seramai lebih 60 orang.


Dalam lawatan singkat itu Encik Ismail bersama Isteri Puan Shukryah berkesempatan dibawa melawat asrama perempuan disana.


Suatu pemandangan yang menarik perhatian beliau adalah katil-katil anak-anak perempuan RYA. Ustaz Daud menambah katil ini adalah hasil kreativiti beliau bersama dengan pekerjanya, disediakan untuk kemudahan anak-anak disini menginap. Ustaz Daud menambah lagi tilam ini adalah hasil sumbangan individu yang bersimpati. Katil tu nampak cukup teguh malah lebih teguh dari yang dibeli di kedai yang harganya sekitar RM500.





Mengakhiri pertemuan yang singkat ini, Ustaz Daud merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Nabir serta rakan-rakan dari QMC Belfast yang begitu perihatin membantu RYA. Doa beliau semoga amal jariah dari rakan sekalian mendapat imbuhan yang setimpal dan mendapat laba berganda dari Allah SWT.


Sunday, September 27, 2009

Program sembelihan korban bersama Rumah Yakin Al-Wadi


Rumah Yakin Al-Wadi juga ada menganjurkan program korban setiap kali datangnya Raya Haji. Bagi sesiapa yang ingin menyertai program korban bersama dengan Rumah Yakin Al-Wadi bagi kali ini pada tahun 1430H (2009), pihak kami mengalu-alukan penyertaan tuan-tuan. Kepada yang berminat bebuat demikian boleh menghubungi penyelia Ust Daud (0134001001) untuk mendapatkan keterangan lanjut.


Dewan makan 70% telah siap

27 September 2009, ruang makan yang telah lama terbengkalai pembinaanya kini telah 70% siap.


27 september 2009-09-28, Dewan Makan Rumah Yakin Al-Wadi.



Ruang makan yang telah siap sepenuhnya, boleh menampung sebanyak 100 orang anak-anak yang akan makan bersila ala-ala Jepun.



Baki yang masih tinggal yang perlu disiapkan adalah pemasangan siling, pendawaian, cat dan bilik air. Anggaran keseluruhan kos bagi menyiapkan semua ini adalah dalam sekitar RM40,000.00 sahaja dari keseluruhan kos sebanyak RM180,000.00.

Sumbangan orang ramai melalui derma, jualan lot wakaf, bayaran fidyah, sumbangan zakat telah banyak membantu merealisasikan matlamat untuk memberi kemudahan kepada lebih 60 orang anak-anak yatim dan anak-anak dari keluarga kurang upaya yang berteduh disini.


Untuk menyiapkan bahagian yang masih belum siap ini, pihak pengurusan mengharapkan sumbangan orang ramai dapat disalurkan melalui bank seperti yang tertera dibawah.